Keutuhan PAS sedang di pecahkan?  

Posted by Alam Fana' in

Terpanggil saya untuk menyatakan beberapa perkara khususnya berkaitan dengan artikel yang dipaparkan melalui laman Malaysiakini bertajuk 16 Sept tonjolkan lagi keretakan PAS.

Jika diteliti dan diperhalusi masalah politik suku sakat yang kononnya kini sedang melanda dalam parti PAS ini sebenarnya mempunyai permainan halus oleh puak-puak dalam PAS yang ingin memecah belah dan menhancurkan PAS dari dalam. Jika ada perbezaan pendapat dikalangan pemimpin sesuatu parti atau organisasi itu, maka tidaklah menjadi pelik kerana penbezaan pendapat itu adalah suatu yang fitrah bagi setiap manusia.

Namun sejak akhir-akhir ini, seolah-olah terdapat golongan-golongan yang kononnya mengaku sebagai pejuang bagi parti PAS ini cuba menimbulkan beberapa isu yang jelas secara halus cuba mengeksploitasi pendapat dan pandangan pimpinan PAS sebagai usaha untuk memastikan PAS akan bertelagah sesama sendiri.

Lihat sahaja istilah-istilah yang cuba ditonjolkan seperti 'kumpulan Erdogan', "kumpulan Pro Anwar' dan beberapa lagi istilah yang cuba menggambar atau melabelkan para pemimpin PAS jika wujud apa sahaja percanggahan pendapat dan tindakan. Begitu juga kewujudan blog-blog yang seolah-olah digambarkan sebagai kepuak-puakkan yang wujud dalam PAS sehingga tanpa rasa segan silu sanggup memburukkan pimpinan PAS atas dasar politik sempit yang dinaungi oleh individu yang tidak diketahui agenda politiknya.

Saya ingin bertanya kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS ini, siapakah sebenarnya dalang disebalik tabir yang cuba mencetuskan isu perbalahan pendapat dikalangan pimpinan PAS ? Adakah individu tersebut benar-benar ahli PAS atau sekadar penyokong sahaja tetapi mempunyai niat dan agenda yang kotor untuk melaga-lagakan kepimpinan PAS ? Apakah sebenarnya matlamat individu tersebut dengan menaungi blog-blog seperti 'anti-husam' tersebut hanya untuk mempamerkan politik yang sempit?

Secara ikhlasnya, saya perhatikan bahawa wujudnya golongan-golongan di dalam mahupun diluar parti PAS ini untuk memecah belahkan keutuhan pimpinan PAS melalui gerakan secara halus dan sistematik demi melihat PAS tidak mampu bersaing dengan seteru politik utamanya iaitu UMNO. Golongan ini memang tidak nampak kerana mereka akan memanfaatkan keseluruhan ruang dan peluang yang ada khususnya segala kelemahan dan kelekaan pimpinan dan ahli PAS bagi meracuni pemikiran ahli PAS agar melihat kepimpinan PAS seolah-oleh wujud politik suku sakat seperti yang sering di war-warkan oleh beberapa kerat individu yang mempunyai agenda tersendiri.

Apakah perbezaan dan percanggahan pendapat atau pandangan dalam sesuatu perkara itu lambang kepada perpecahan? Itu hanyalah gambaran bagi mereka yang berfikiran negatif dan berfahaman politik sempit sahaja. Bagi mereka yang faham apa itu keterbukaan dalam memberi pendapat walaupun ada percanggahan wujud, namun itulah lambang kepelbagaian idea yang perlu diambil serius kerana berkemungkinan mampu menyuntik kekuatan parti walaupun setiap manusia itu rambut sama hitam, namun tiada siapapun yang boleh mempertikaikan bahawa soal hati itu jelas sama sekali berbeza. Yang paling utama pegangan dasar perjungan itu tetap dilandasan yang sama kerana ALLAH SWT.

Moga-moga individu-individu yang sedang bergerak untuk memecah belahkan PAS ini akan diberi balasan yang setimpal oleh ALLAH SWT kerana sifat cemburu dan hasad dengki mereka untuk melihat PAS mampu memerintah negara Malaysia yang tercinta ini.

Takbir !! Allahhu Akhbar..



PAS perlu tampil beri penjelasan demi Islam dan bangsa.  

Posted by Alam Fana' in

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Alhamdulillah dengan segala nikmat kurniaan yang Maha Esa, bumi Malaysia terus makmur dan subur dengan segala limpah rezki terhadap seluruh rakyat jelata.
.
Di atas rasa cinta dan kasihnya kepada ALLAH SWT dan Rasul Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, ingin saya utarakan satu pandangan yang lahir dari hati sanubari demi sebuah matlamat yang suci.
.
Sejak akhir-akhir ini, sudah terpampang di media-media utama tanah air samada akhbar dan media elektronik berkenaan dengan isu yang semakin mirip dan jelas kepada soal perkauman. Tidak dapat di pastikan apakah sebenar masalah dalaman yang berlaku antara individu yang mencetus isu tersebut atau berpunca dari provokasi pihak-pihak yang berselindung disebalik akhbar berbahasa cina tersebut.
.
Walaupun isu tersebut dilihat berlarutan, kerajaan seolah-olah tidak mampu mengambil apa-apa tindakan dalam menangani masalah yang kini semakin berlarutan. Baik daripada pihak kementerian dalam negeri mahupun pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam dalam isu-isu yang boleh mencetuskan krisis perkauman, mereka seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa untuk berbuat sesuatu. Sekurang-kurangnya mengenakan tindakan serta merta jika perkara tersebut jelas mampu mencetus krisis perkauman yang boleh membahayakan rakyat jelata.
.
Apakah kerana isu 16 September tersebut kerajaan cuba mencipta satu permainan politik yang amat merbahaya khususnya melibatkan konflik antara kaum. Apakah kerana ura-ura akan berlaku peralihan tampuk kerajaan kepada Pakatan Rakyat maka usaha-usaha jahat dua tiga kerat manusia yang tidak bertanggungjawab itu ingin cuba mencetus satu masalah besar semata-mata menggagalkan perancangan MP lompat seperti yang dirancang.
.
Walau apapun sikap dan tindakan kerajaan dalam isu ini, soal perkauman tidak perlu sekali-kali dipermain-main dan diapi-apaikan. Umum sedia mengetahui bahawa negara Malaysia telah mempunyai perlembagaan yang jelas khususnya berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang melayu dan kedudukan agama Islam.
.
Janganlah hanya kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Janganlah kerana hasad dengki dan dendam kesumat kepada satu pihak, maka pihak yang lain cuba mencetus isu yang berkaitan perkauman sebagai langkah berkesan dalam memastikan survival politik kotor mereka.
.
Biarlah sikap profesional dan bijaksana digunakan dalam menangani politik kotor yang semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat yang kini semakin beralih arah kepada pakatan rakyat. Dalam pada itu, isu perkauman yang sedang dimainkan di pulau mutiara itu jelas satu perancangan yang boleh mengundang malapetaka kepada rakyat jelata. Sedang hakikatnya rakyat jelata kini sentiasa mendokong teguh prinsip hormat menghormati antara kaum. Cina dan India bukanlah perkara yang asing dalam pergaulan seharian bagi masyarakat melayu. Malah budaya bantu membantu serta tolong menolong antara kaum sudahpun menjadi asam garam kehidupan masyarakat majmuk kini.
.
Cuma yang menjadi masalah dan puncanya adalah dari dua tiga orang politik sahaja, maka soal perkauman ini telah melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Wajarkah begitu rakyat yang mendokong prinsip tersebut dikhianati dengan mencetuskan isu perkauman ?
.
Justeru itu, memandangkan pihak yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan politik melayu kini dilihat sudah semakin goyah dengan pelbagai masalah dalaman yang kronik. Maka saya menyeru kepada para pemimpin yang memperjuangkan Islam dan mewakili suara Melayu tampil kehadapan dengan menyatakan pendirian soal situasi yang sedang berlaku kini di pulau mutiara tersebut. Di samping itu, peranan dalam menangani isu perkauman tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih aktif dalam mempamerkan hakikat sebenar majoriti kaum Melayu masih berpegang teguh dengan prinsip perpaduan dan keharmonian antara kaum tanpa menyentuh isu-isu yang pasti memberi impak kepada kaum-kaum yang lain. Jika ada isu yang timbul, maka tindakan yang lebih berhikmah dan berhemah adalah cara terbaik untuk menanganinya tanpa mencetuskan api kemarahan yang pasti mengundang derita yang tidak sudah.
.
Moga-moga PAS mampu memainkan peranan ini dengan menyelamatkan kaum Melayu dari dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kemerdekaan yang Terus Dijajah  

Posted by Alam Fana' in



Hati berasa hairan dan pelik akan sambutan kemerdekaan yang diadakan baru-baru ini jelas menggambarkan bahawa jiwa dan minda rakyat masih lagi terus dijajah tanda kesudahannya. Walaupun usia kemerdekaan yang kita cepai telah mencecah ke usia 51 tahun, namun unsur-unsur penjajahan oleh barat terus berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Apapun ini hanya sekadar pandangan yang ingin dikongsi dan difikirkan bersama demi memperhalusi erti kemerdekaan yang sebenar.

Kemerdekaan yang kita fahami sebenarnya beerti negara telah bebas daripada cengkaman kuasa penjajah khususnya pihak barat yang dahulu telah menakluk segala bentuk kehidupan rakyat jelata. Kini kita telahpun bebas dari cengkaman tersebut dan kemaraan negara dalam menjadikan sebuah negara maju tidak dapat dinafikan lagi dengan segala aspek kepesatan dan pembangunan yang semakin rancak.

Namun, yang menghairankan, masih banyak lagi perkara-perkara yang sebenarnya meletakkan kita dalam keadaan masih lagi dijajah. Lihat sahaja bagaimana hiburan yang dipaparkan dikaca tv secara terang terangan mengambil program-program 100% daripada barat. Begitu juga program yang berbentuk realiti tv secara jelas membawa ideologi barat secara halus dalam versi yang disesuaikan dengan rakyat Malaysia.

Disamping itu, trend muda mudi yang ghairah berfesyen juga jelas menggambar bahawa pengaruh kebaratan dalam aspek penampilan dan gaya hidup juga telah berjaya dijajah secara berteruskan oleh pihak barat. Sehingga soal pergaulan yang melampaukan batas sudahpun dianggap trend terkini kononnya sebagai masyarakat berfikiran moden. Mereka yang terikat dengan adat dan budaya, pasti akan dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Penjajahan ini bukan sahaja kepada golongan muda mudi, bahkan golongan belia dan mereka yang sudah berusia juga turut sama terjajah oleh barat.

Ini amat memalukan kita yang sering melaung-laungkan kemerdekaan sedangkan minda dan jiwa kita tidak merdeka lagi.......

Kita kata kita sudah merdeka,tapi kita terus memuja dan memuji arti barat.

Kita kata kita sudah merdeka,tapi kita terus mengikut trend fesyen kebaratan.

Kita kata kita sudah merdeka,tapi kita sendiri lebih suka menyokong produk keluaran barat daripada menyokong produk buatan sendiri...

Inilah sikap kita yang meraikan kemerdekaan hanya sekadar pelengkap sambutan sahaja. Tetapi tiada penghayatan erti kemerdekaan yang sebenar dalam diri.


Nasib Anwar Yang Belum Pasti Selepas 16 Sept  

Posted by Alam Fana'

Begitulah tenggelam timbulnya spekulasi yang telah dicetuskan oleh DSAI sendiri berkaitan dengan tarikh 16 September sebagai titik permulaan ke arah pembentukan kerajaan baru atas nama Pakatan Rakyat.

Namun senario politik yang berlaku selepas DSAI dilaporkan terlibat dalam kes liwat Saiful tersebut, nasib dan kedudukan sebenar DSAI dalam arus politik negara yang sukar dijangka sebenarnya telah mengundang pelbagai reaksi negatif mahupun positif.

Dunia politik negara kini telah banyak tercemar akibat beberapa kerat konspirator yang bersikap mementingkan diri sehingga tidak mempedulikan dosa dan haram dalam tindak tanduk mereka. Akibat berhati syaitan dan bersifat hasad dengki yang tinggi, apa saja cara sanggup dilakukan demi memastikan agenda kotor itu tercapai walaupun melondehkan maruah seseorang itu dikhalayak umum.

DSAI sememangnya wajar diangkat sebagai individu yang berani bertarung di gelanggang yang penuh dengan racun, bom dan jerangkap samar. Ini kerana segala tindak tanduk DSAI yang berani berlawan arus bakal berhadapan dengan 1001 tindakan undang-undang telah meletakkan beliau sebagai seorang pejuang tulen di mata majoriti rakyat selepas pilihanraya yang lalu.

Dengan kehidupan beliau yang penuh dengan hinaan, kejian, umpatan, makian dan fitah tidak sedikitpun melemahkan semengat beliau untuk menunjukkan bahawa kesungguhan beliau dalam melawan kejahatan tersebut.
Jikalau lah DSAI inginkan kedudukan yang rileks dan bersenang lenang, sejak dulu lagi beliau boleh menjadi seorang yang "YES MAN" dengan mengangguk apa saja yang diputuskan oleh orang No.1 negara. Sudah tentu beliau kini boleh menjadi PM dengan jalan yang senang dan selesa tanpa perlu bermukim di penjara sehingga mendapat anugerah 'black eye' di matanya.

Tetapi inilah realiti politik DSAI yang berprinsip "LAWAN TETAP LAWAN" demi meletakkan harapan rakyat yang makmur dan sejahtera dalam agenda utama politik beliau. Jika ada apa-apa agenda lain yang tersembunyi dalam fikiran DSAI, itu antara beliau dengan ALLAH SWT sahaja walaupun mungkin ada suara-suara sumbang mengatakan agenda DSAI ingin memusnahkan kestabilan negara.

Apapun, perjalanan politik DSAI kini semakin berliku dan berduri. Setiap langkah yang dipijak, pasti akan menjerat hayat politik beliau kerana musuh yang ada disekelilingnya sememangnya mencemburui karisma dan perjuangan politik beliau.

Semoga perjalanan politik DSAI tidak tersungkur dipintu penjara buat kali yang ke-2.

Isu Menghina Islam ?  

Posted by Alam Fana' in

Di sini ingin saya coretkan sedikit kekesalan terhadap isu-isu yang jelas mengandungi unsur penghinaan kepada agama Islam mahupun kepada Nabi Muhammad SAW. Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada empat agensi tersebut iaitu JAKIM, JAWI, MAIWP dan YADIM di atas ketegasan dalam mempertahankan kesucian Islam dengan mengambil perhatian yang serius terhadap artikel yang telah ditulis oleh Raja Petra bertajuk “I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim”. Apapun tindakan susulan tersebut adalah terserah kepada pihak yang berkuasa untuk mengambil apa-apa hukuman yang difikirkan sesuai.
Sebenarnya, isu menghina Islam ini khususnya di malaysia ini sudah lama berlaku. Apakah pihak JAWI, JAKIM, MAIWP dan YADIM terlepas pandang atau pun memang tak nampak tentang fenomena tersebut di negara ini ?


Walaupun unsur penghinaan tersebut kecil ataupun sekadar kiasan sahaja namun saya amat hairan kenapa perbuatan menghina itu tidak diambil tindakan segera sedangkan artikel yang ditulis oleh RPK tersebut terus serta merta diambil tindakan. Apa yang ingin saya maksudkan soal penghinaan terhadap agama Islam tersebut adalah sering kali terjadi dalam bidang perfileman tanah air yang kini seolah-olah agensi-agensi diatas tidak mampu berbuat apa-apa.

Terdapat beberapa filem yang diarah oleh pengarah tempatan jelas mengandungi unsur-unsur menghina Islam dengan memaparkan corak dan perlakuan yang sememangnya jelas betentangan dengan Islam. Biarpun mesej yang ingin diutaran itu baik namun matlamat tidak boleh menghalalkan cara demi mencapai tujuan yang kabur.

Ditambah pula dengan jalan cerita yang sememangnya mengundang 1001 persoalan adakah pengarah tersebut merujuk kepada JAKIM, YADIM, JAWI ataupun agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap soal2 agama Islam. Dengan aksi hampir separuh bogel, pergaulan yang melampaui batas serta ungkapan yang tidak sopan langsung tidak menggambarkan nilai-nilai Islam.

Apatah lagi terdapat adegan-adegan yang boleh disifatkan terlampau kotor dan mencemar kesucian umat Islam dalam filem-filem tempatan langsung tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Teringat kepada petikan dari sebuah filem arahan pengarah wanita yang memeparkan adegan seorang lelaki yang ingin pergi menunaikan solat, dipertengahan jalan dia telah mengusap-usap kepala seekor anjing. Apakah perbuatan itu diterima dalam Islam walaupun sekadar lakonan ??

Apapun, sebenarnya banyak perkara yang berlaku di negara kita ini benda-benda yang bercanggah dan menghina Islam. Namun saranan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga kesucian islam, bertindaklah setiap masa tanpa mengira apa jua latarbelakang seseorang kerana dikhuatiri nanti akan dikatakan sebagai 'hangat hangat tahi ayam sahaja'.

16 September : Saat Yang Sedang Dinantikan ?  

Posted by Alam Fana' in

Begitulah tarikh yang kini menjadi bualan hangat oleh seluruh warga Malaysia mahupun warga seantero dunia yang sentiasa mengikuti perkembangan politik Malaysia. Dari golongan atasan sehinggalah golongan warga kedai kopi tidak terkecuali membicarakan soal 16 September yang telah dicetuskan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia.
Pelbagai pihak cuba mentafsirkan apa yang telah dicetuskan oleh DSAI tersebut dengan alasan sebab musabab yang tersendiri.



Jika dipihak parti Kerajaan BN/UMNO, mereka jelas menafikan bahawa akan berlaku peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat yang bakal dipimpin oleh DSAI sendiri. Dalam masa yang sama mereka mempertahankan bahawa seluruh ahli MP yang berada dalam BN itu terus tetap setia bersama Barisan Nasional walauapapun terjadi. Tidak kurang juga beberapa komen dikalangan pemimpin Umno sendiri yang mengatakan bahawa apa yang cuba dicetuskan oleh DSAI itu hanyalah taktik politik murahan yang cuba diraih oleh DSAI.


Bagi pihak parti dalam Pakatan Rakyat, majoriti pandangan mereka jelas dengan penuh yakin bahawa tanggal 16 Sept ini akan tetap berlaku 'perpindahan' ahli MP BN kepada Pakatan Rakyat atas alasan untuk menyelamatkan ekonomi negara yang kini semakin suram akibat daripada kelemahan dalam kepimpinan kerajaan yang didominasi oleh UMNO serta parti2 komponen BN yang lain.


Namun bagi rakyat pula, majoriti rakyat dari pelbagai latar belakang kaum dan agama turut sama menanti apakah benar atau sebaliknya berkaitan dakwaan berlakunya peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat. Jika sebaliknya, sudah pasti imej Pakatan Rakyat akan terjejas akibat daripada permainan kata-kata yang boleh mengundang terhakiskan kepercayaan rakyat. Namun jika benar ia berlaku, rakyat tidak akan menolak sama sekali perubahan tersebut asalkan kebajikan rakyat yang adil dan saksama terus diberi perhatian oleh mereka yang bakal mengambil alih kerajaan menjelang 16 September ini.


Yang menjadi haru birunya adalah puak-puak didalam BN/UMNO yang kini semakin kucar kacir dengan pelbagai masalah dalaman yang berlaku sehingga menjadi bualan hangat diwarung kopi dan di mana-mana sahaja. Bagi DSAI dan barisan Pakatan Rakyat, mereka terus mara ke hadapan dengan memastikan apa yang dirancang akan tercapai demi memenuhi agenda memperkasakan ekonomi negara dan memakmurkan rakyat jelata.


Walau apapun pandangan, tarikh 16 September ini semakin hampir untuk kita melihat adakah ianya benar-benar berlaku ataupun hanya sekadar mimpi disiang hari sahaja.