PAS perlu tampil beri penjelasan demi Islam dan bangsa.  

Posted by Alam Fana' in

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Alhamdulillah dengan segala nikmat kurniaan yang Maha Esa, bumi Malaysia terus makmur dan subur dengan segala limpah rezki terhadap seluruh rakyat jelata.
.
Di atas rasa cinta dan kasihnya kepada ALLAH SWT dan Rasul Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, ingin saya utarakan satu pandangan yang lahir dari hati sanubari demi sebuah matlamat yang suci.
.
Sejak akhir-akhir ini, sudah terpampang di media-media utama tanah air samada akhbar dan media elektronik berkenaan dengan isu yang semakin mirip dan jelas kepada soal perkauman. Tidak dapat di pastikan apakah sebenar masalah dalaman yang berlaku antara individu yang mencetus isu tersebut atau berpunca dari provokasi pihak-pihak yang berselindung disebalik akhbar berbahasa cina tersebut.
.
Walaupun isu tersebut dilihat berlarutan, kerajaan seolah-olah tidak mampu mengambil apa-apa tindakan dalam menangani masalah yang kini semakin berlarutan. Baik daripada pihak kementerian dalam negeri mahupun pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam dalam isu-isu yang boleh mencetuskan krisis perkauman, mereka seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa untuk berbuat sesuatu. Sekurang-kurangnya mengenakan tindakan serta merta jika perkara tersebut jelas mampu mencetus krisis perkauman yang boleh membahayakan rakyat jelata.
.
Apakah kerana isu 16 September tersebut kerajaan cuba mencipta satu permainan politik yang amat merbahaya khususnya melibatkan konflik antara kaum. Apakah kerana ura-ura akan berlaku peralihan tampuk kerajaan kepada Pakatan Rakyat maka usaha-usaha jahat dua tiga kerat manusia yang tidak bertanggungjawab itu ingin cuba mencetus satu masalah besar semata-mata menggagalkan perancangan MP lompat seperti yang dirancang.
.
Walau apapun sikap dan tindakan kerajaan dalam isu ini, soal perkauman tidak perlu sekali-kali dipermain-main dan diapi-apaikan. Umum sedia mengetahui bahawa negara Malaysia telah mempunyai perlembagaan yang jelas khususnya berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang melayu dan kedudukan agama Islam.
.
Janganlah hanya kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Janganlah kerana hasad dengki dan dendam kesumat kepada satu pihak, maka pihak yang lain cuba mencetus isu yang berkaitan perkauman sebagai langkah berkesan dalam memastikan survival politik kotor mereka.
.
Biarlah sikap profesional dan bijaksana digunakan dalam menangani politik kotor yang semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat yang kini semakin beralih arah kepada pakatan rakyat. Dalam pada itu, isu perkauman yang sedang dimainkan di pulau mutiara itu jelas satu perancangan yang boleh mengundang malapetaka kepada rakyat jelata. Sedang hakikatnya rakyat jelata kini sentiasa mendokong teguh prinsip hormat menghormati antara kaum. Cina dan India bukanlah perkara yang asing dalam pergaulan seharian bagi masyarakat melayu. Malah budaya bantu membantu serta tolong menolong antara kaum sudahpun menjadi asam garam kehidupan masyarakat majmuk kini.
.
Cuma yang menjadi masalah dan puncanya adalah dari dua tiga orang politik sahaja, maka soal perkauman ini telah melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Wajarkah begitu rakyat yang mendokong prinsip tersebut dikhianati dengan mencetuskan isu perkauman ?
.
Justeru itu, memandangkan pihak yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan politik melayu kini dilihat sudah semakin goyah dengan pelbagai masalah dalaman yang kronik. Maka saya menyeru kepada para pemimpin yang memperjuangkan Islam dan mewakili suara Melayu tampil kehadapan dengan menyatakan pendirian soal situasi yang sedang berlaku kini di pulau mutiara tersebut. Di samping itu, peranan dalam menangani isu perkauman tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih aktif dalam mempamerkan hakikat sebenar majoriti kaum Melayu masih berpegang teguh dengan prinsip perpaduan dan keharmonian antara kaum tanpa menyentuh isu-isu yang pasti memberi impak kepada kaum-kaum yang lain. Jika ada isu yang timbul, maka tindakan yang lebih berhikmah dan berhemah adalah cara terbaik untuk menanganinya tanpa mencetuskan api kemarahan yang pasti mengundang derita yang tidak sudah.
.
Moga-moga PAS mampu memainkan peranan ini dengan menyelamatkan kaum Melayu dari dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

This entry was posted on Selasa, 9 September 2008 at 3:04 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan